Persidangan enam hari itu menyaksikan 67 soalan lisan dan 665 soalan bertulis dijawab, dengan satu usul dan tiga rang undang-undang dibentangkan. ― Gambar oleh Sayuti Zainudin
GEORGE TOWN, 3 Dis — Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, yang bersidang mulai 26 November, ditangguhkan sine die.
Persidangan enam hari itu menyaksikan 67 soalan lisan dan 665 soalan bertulis dijawab, dengan satu usul dan tiga rang undang-undang dibentangkan.
Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Cadangan Belanjawan Pembangunan negeri yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow dibahaskan dan diluluskan semasa persidangan itu.
Dua lagi rang undang-undang — Rang Undang-undang Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang 2021 dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri II Prof P Ramasamy pada 26 November, manakala Chow membentangkan Rang Undang-undang Enakmen (Pemerbadanan) Pulau Pinang (Pindaan) 2021, hari ini.
Kedua-dua rang undang-undang itu dibahaskan dan diluluskan.
Kedua-dua Rang Undang-undang itu dibentangkan sebagai usaha memperkasakan syarikat dan institusi di Pulau Pinang untuk berfungsi dengan baik. — Bernama